Masjid berasal daripada perkataan Arab "sa-ja-da" yang bermaksud sujud iaitu perbuatan di mana umat Islam meletakkan dahi yang mulia ke posisi yang paling rendah, separas dengan tapak kaki tempat berdiri. Maksud sujud di sini ialah menyembah Allah s.w.t. Jadi masjid ialah rumah tempat menyembah Allah s.w.t. atau rumah Allah (Baitullah). Rumah Allah yang paling utama ialah Baitullah al-Haram iaitu Kaabah di Makkah al-Mukarramah. Disebut Baitullah al-Haram kerana diharamkan berperang di dalam masjid. Baitullah juga menjadi kiblat umat Islam, iaitu arah menghadapkan muka dan dada ketika mengerjakan solat.
Hakikatnya seluruh muka bumi ialah rumah Allah. Sebab itu kita boleh sujud di mana-mana sahaja. Secara umumnya bolehlah didefinisikan bahawa masjid ialah tempat umat Islam mengerjakan ibadat khusus seperti solat dan iktikaf. Begitu pun masjid juga merupakan pusat aktiviti, sosial, kebudayaan, muamalat dan perkembangan dakwah Islamiah.
Terdapat beberapa pertikaian mengenai takrif masjid. Ada yang mengistilahkan semua tempat bersolat sebagai masjid. Bagaimanapun, takrif yang biasanya diterima pakai masjid merupakan tempat khas untuk bersolat dan telah digunakan untuk solat Jumaat melebihi tiga kali. Tempat solat yang tidak diadakan solat Jumaat lebih dikenali sebagai surau atau musalla.
Masjid itu Hidupku oleh Mohd. Gunawan Che Ab. Aziz
Tidak boleh berkata Allah berada di mana-mana. Kerana mana-mana itu tempat yang lazim bagi jirim iaitu benda yang boleh dibahagi dan mempunyai jisim serta ruang. Jirim adalah makhluk yang bersifat baharu, bukan qadim (tidak kekal). Allah bukan jirim kerana Allah tidak menempati ruang dan masa. Apabila begitu (jirim) boleh dikatakan atas, bawah, kiri, kanan, depan, belakang. Allah itu zat yang tidak sama dengan zat makhluk. Zat Allah merujuk kepada hakikat-Nya yang tak dapat dilihat oleh makhluk dan tidak menyerupai makhluk. Dia wujud tanpa berjisim, berjasad, atau bertempat.
Oleh itu tidak boleh juga kata Allah berada di atas 'Arasy. Ayat seperti “ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ” (kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arasy) muncul dalam beberapa tempat dalam al-Quran, seperti Surah al-A’raf: 54, Yunus: 3, dan lain-lain Jika ayat ini difahami secara zahir (fizikal), ia seolah-olah menyatakan Allah duduk atau berada di atas sesuatu, seperti makhluk. Ulama khalaf mentakwilkan “istiwa” sebagai menguasai, memelihara, atau menunjukkan kebesaran, bukan semata-mata duduk atau bertempat.
Dalam ilmu kalam, ulama khalaf menggunakan pendekatan takwil untuk menjaga kesucian aqidah dan menolak fahaman tajsim (penjisim Tuhan). Mereka menafsirkan ayat ini secara metafizik, bukan literal. Allah sempurna, tidak terbatas, dan tidak bergantung kepada ruang atau bentuk.
Apabila kita berdoa, bermakna kita mengaku lemah di depan Allah. Kita mengaku diri hina, miskin, jahil dan serba-serbi kurang. Dan kita mengaku hanya Allah yang dapat memberi kekuatan kepada kita, memuliakan kita, menjadikan kita kaya, menjadikan kita pandai serta menampung segala kekurangan dan kelemahan kita. Lalu kita memohon dan meminta kepada-Nya kerana kita sedar, hanya Dia sebaik-baik tempat memohon dan meminta pertolongan.
Walaupun ada kalanya rintihan hati sudah cukup untuk mendapatkan belas kasihan dari Allah, Dia juga menyediakan cara untuk memudahkan hamba memohon kepada-Nya berserta rasa kehambaan.
Doa itu sendiri merupakan satu jalinan intim antara kita selaku hamba, dengan Allah sebagai Tuhan kita. Berdoa adalah salah satu cara membina hubungan hati dengan Allah.
Oleh Zakaria Sungib, Anis November 2000.
Nabi Muhammad SAW sangat terkenal dengan sifatnya yang pemurah. Apakah yang dikatakan pemurah itu? laitu membelanjakan harta benda atau wang ringgit untuk perkara yang bermanfaat serta mendatangkan kebaikan.
Dermawan atau pemurah yang diajarkan oleh Nabi SAW ialah yang dilakukan semata-mata kerana Allah SWT. Barulah beroleh pahala dan ganjaran yang sangat besar di sisi-Nya. Bukan kerana mahu mencari pujian atau menutup kelemahan diri. Bukan juga untuk berbangga-bangga atau mencari keuntungan.
Pemurah Nabi SAW sangat luar biasa. Baginda sanggup memberikan suatu barang sedangkan pada masa yang sama Nabi sangat memerlukan barang itu. Nabi bersedekah selagi mampu. Walaupun banyak bersedekah, baginda sentiasa merasakan sedekahnya amat sedikit. Nabi memberi dan tidak pernah menolak permintaan orang.
ASUH, BIL. 130 MEI 2008
Bermula Anbiya' itu tiga lughah jua:
Pertama: Bahasa Arab.
Dan kedua: Bahasa Suryani.
Dan ketiga: Bahasa 'Ibrani.
Dan bahasa 'Ibrani itu bahasa segala Anbiya' daripada anak Ya'qub dan bahasa Suryani itu bahasa lima orang Nabi jua iaitu Idris dan Nuh dan Ibrahim dan Luth dan Yunus. Dan bahasa Arab itu iaitu bahasa dua belas orang Nabi iaitu Adam dan Syu'aib dan Hud dan Soleh dan Isma'il dan Syits dan Khidhir dan tiga orang disebut di dalam surah Yasin iaitu Syam'aun dan Syamuel dan Hazqil dan Khalid Ibnu Sinan dan Muhammad Shallallahu 'alaihiwasallam.
- "Aqidatun Najin Fi Ilmi Usuliddin"
Oleh Tuan Minal