Tidak boleh berkata Allah berada di mana-mana. Kerana mana-mana itu tempat yang lazim bagi jirim iaitu benda yang boleh dibahagi dan mempunyai jisim serta ruang. Jirim adalah makhluk yang bersifat baharu, bukan qadim (tidak kekal). Allah bukan jirim kerana Allah tidak menempati ruang dan masa. Apabila begitu (jirim) boleh dikatakan atas, bawah, kiri, kanan, depan, belakang. Allah itu zat yang tidak sama dengan zat makhluk. Zat Allah merujuk kepada hakikat-Nya yang tak dapat dilihat oleh makhluk dan tidak menyerupai makhluk. Dia wujud tanpa berjisim, berjasad, atau bertempat.
Oleh itu tidak boleh juga kata Allah berada di atas 'Arasy. Ayat seperti “ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ” (kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arasy) muncul dalam beberapa tempat dalam al-Quran, seperti Surah al-A’raf: 54, Yunus: 3, dan lain-lain Jika ayat ini difahami secara zahir (fizikal), ia seolah-olah menyatakan Allah duduk atau berada di atas sesuatu, seperti makhluk. Ulama khalaf mentakwilkan “istiwa” sebagai menguasai, memelihara, atau menunjukkan kebesaran, bukan semata-mata duduk atau bertempat.
Dalam ilmu kalam, ulama khalaf menggunakan pendekatan takwil untuk menjaga kesucian aqidah dan menolak fahaman tajsim (penjisim Tuhan). Mereka menafsirkan ayat ini secara metafizik, bukan literal. Allah sempurna, tidak terbatas, dan tidak bergantung kepada ruang atau bentuk.
Apabila kita berdoa, bermakna kita mengaku lemah di depan Allah. Kita mengaku diri hina, miskin, jahil dan serba-serbi kurang. Dan kita mengaku hanya Allah yang dapat memberi kekuatan kepada kita, memuliakan kita, menjadikan kita kaya, menjadikan kita pandai serta menampung segala kekurangan dan kelemahan kita. Lalu kita memohon dan meminta kepada-Nya kerana kita sedar, hanya Dia sebaik-baik tempat memohon dan meminta pertolongan.
Walaupun ada kalanya rintihan hati sudah cukup untuk mendapatkan belas kasihan dari Allah, Dia juga menyediakan cara untuk memudahkan hamba memohon kepada-Nya berserta rasa kehambaan.
Doa itu sendiri merupakan satu jalinan intim antara kita selaku hamba, dengan Allah sebagai Tuhan kita. Berdoa adalah salah satu cara membina hubungan hati dengan Allah.
Oleh Zakaria Sungib, Anis November 2000.
Nabi Muhammad SAW sangat terkenal dengan sifatnya yang pemurah. Apakah yang dikatakan pemurah itu? laitu membelanjakan harta benda atau wang ringgit untuk perkara yang bermanfaat serta mendatangkan kebaikan.
Dermawan atau pemurah yang diajarkan oleh Nabi SAW ialah yang dilakukan semata-mata kerana Allah SWT. Barulah beroleh pahala dan ganjaran yang sangat besar di sisi-Nya. Bukan kerana mahu mencari pujian atau menutup kelemahan diri. Bukan juga untuk berbangga-bangga atau mencari keuntungan.
Pemurah Nabi SAW sangat luar biasa. Baginda sanggup memberikan suatu barang sedangkan pada masa yang sama Nabi sangat memerlukan barang itu. Nabi bersedekah selagi mampu. Walaupun banyak bersedekah, baginda sentiasa merasakan sedekahnya amat sedikit. Nabi memberi dan tidak pernah menolak permintaan orang.
ASUH, BIL. 130 MEI 2008
Bermula Anbiya' itu tiga lughah jua:
Pertama: Bahasa Arab.
Dan kedua: Bahasa Suryani.
Dan ketiga: Bahasa 'Ibrani.
Dan bahasa 'Ibrani itu bahasa segala Anbiya' daripada anak Ya'qub dan bahasa Suryani itu bahasa lima orang Nabi jua iaitu Idris dan Nuh dan Ibrahim dan Luth dan Yunus. Dan bahasa Arab itu iaitu bahasa dua belas orang Nabi iaitu Adam dan Syu'aib dan Hud dan Soleh dan Isma'il dan Syits dan Khidhir dan tiga orang disebut di dalam surah Yasin iaitu Syam'aun dan Syamuel dan Hazqil dan Khalid Ibnu Sinan dan Muhammad Shallallahu 'alaihiwasallam.
- "Aqidatun Najin Fi Ilmi Usuliddin"
Oleh Tuan Minal
Yang Ramai Tak Tahu atau Ambil Mudah
Oleh Dr. Kamilin Jamilin
1. Datang awal masjid, tapi tidak mengejar saf pertama.
2. Tunggu sampai habis iqamat, baru nak bangun masuk saf.
3. Tidak cuba merapatkan saf apabila renggang.
4. Solat dengan pakaian yang ketat atau jarang sehingga menampakkan bahagian aurat.
5. Tidak peduli dengan kebersihan pakaian.
6. Membiarkan telefon bimbit berdering.
7. Mata mengelewar ketika solat.
8. Sendawa kuat-kuat.
9. Meletup-letupkan jari.
10. Menahan diri daripada membuang air sehingga mengganggu kosenterasi.
11. Takbiratul ihram berkali-kali kerana was-was (enjin susah start).
12. Tidak membaca al-Fatihah ketika menjadi makmum.
13. Tidak meluruskan kaki (lutut) ketika rukuk bagi yang mampu.
14. I’tidal yang terlalu ringkas.
15. Sujud dengan melekapkan keseluruhan lengan ke lantai.
16. Mendahului imam atau melengah-lengah daripada mengikuti perbuatan imam.
17. Tergesa-gesa mempercepatkan solat.
18. Berlari meluru masuk saf ketika melihat imam rukuk kerana datang lewat.
19. Tidak merebut peluang berdoa selepas bacaan tahiyyat akhir sebelum salam (rugi).
20. Meninggalkan solat sunat di rumah.